Friday, March 26, 2010

PERASMIAN MESYUARAT AGUNG BAKTI PADA 25 MAC 2010

Sukacita saya ingin mengucapkan tahniah kepada BAKTI kerana pelbagai program dan aktiviti telah berjaya dijalankan untuk manfaat ahli-ahli BAKTI. Program-program yang dilaksanakan adalah inisiatif baik dan perlu diteruskan. “Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat”. Saya percaya, kejayaan BAKTI pada hari ini adalah kerana muafakat dan saling melengkapi antara satu sama lain. Saya turut berbangga kerana BAKTI telah menunjukkan kekuatan dan semangat wanita dalam kepimpinan organisasi dan pengurusan sumber manusia yang jitu di bawah kepimpinan Y.A.Bhg. Datin Sri Rosmah Mansor.

Wanita Dalam Pasaran Pekerjaan

Dalam konteks pengurusan guna tenaga negara, wanita tidak lagi terpinggir. Wanita mewakili separuh daripada penduduk Malaysia iaitu seramai 13.6 juta daripada 27.7 juta penduduk. Daripada jumlah itu, 8.6 juta atau 63.2 peratus adalah dalam kumpulan umur bekerja yang berusia 15 hingga 64 tahun. Secara keseluruhan, wanita membentuk hampir 35.8 peratus daripada tenaga kerja negara. Ini menunjukkan pada ketika ini semakin ramai wanita yang bekerja bagi membantu keluarga. Ini juga menggambarkan peratusan sumbangan wanita kepada pembangunan ekonomi adalah besar nilainya. Hari ini hampir 70 peratus pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) adalah di kalangan perempuan, dan mereka bakal menyertai pasaran pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Selain itu, sejumlah 6.58 juta penduduk luar tenaga buruh adalah berpotensi memasuki pasaran buruh. Daripada jumlah tersebut, 70 peratus adalah terdiri daripada kaum wanita.

Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) berusaha meningkatkan penyertaan kaum wanita yang kini berada di luar tenaga buruh dalam pasaran pekerjaan terutama ibu tunggal, suri rumah (atau dikenali sebagai latent workforce) melalui program-program seperti homeworking, penyediaan Pusat Asuhan Kanak-kanak dan penggubalan Peraturan Kerja Separa Masa.

Program homeworking telah dilancarkan oleh YB Menteri Sumber Manusia pada 7 Oktober 2008 bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan latent workforce menyertai pasaran pekerjaan dan menambah pendapatan. Pada 2009, KSM telah meneruskan program homeworking yang telah berjaya menarik penyertaan seramai 2,448 orang golongan OKU, suri rumah, ibu tunggal dan keluarga miskin.

Usaha juga perlu dipergiatkan untuk menarik golongan wanita meningkatkan jati diri dan kebolehpekerjaan (employability) melalui latihan kemahiran. Kesedaran bahawa dunia pekerjaan pada masa kini memerlukan bukan sahaja pengetahuan, tetapi juga kemahiran dalam pelbagai bidang perlu diterapkan. Kegagalan untuk merebut peluang-peluang yang ada mengakibatkan mereka terus ketinggalan dalam arus peredaran global.