Friday, March 26, 2010

PERASMIAN MESYUARAT AGUNG BAKTI PADA 25 MAC 2010

Sukacita saya ingin mengucapkan tahniah kepada BAKTI kerana pelbagai program dan aktiviti telah berjaya dijalankan untuk manfaat ahli-ahli BAKTI. Program-program yang dilaksanakan adalah inisiatif baik dan perlu diteruskan. “Bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat”. Saya percaya, kejayaan BAKTI pada hari ini adalah kerana muafakat dan saling melengkapi antara satu sama lain. Saya turut berbangga kerana BAKTI telah menunjukkan kekuatan dan semangat wanita dalam kepimpinan organisasi dan pengurusan sumber manusia yang jitu di bawah kepimpinan Y.A.Bhg. Datin Sri Rosmah Mansor.

Wanita Dalam Pasaran Pekerjaan

Dalam konteks pengurusan guna tenaga negara, wanita tidak lagi terpinggir. Wanita mewakili separuh daripada penduduk Malaysia iaitu seramai 13.6 juta daripada 27.7 juta penduduk. Daripada jumlah itu, 8.6 juta atau 63.2 peratus adalah dalam kumpulan umur bekerja yang berusia 15 hingga 64 tahun. Secara keseluruhan, wanita membentuk hampir 35.8 peratus daripada tenaga kerja negara. Ini menunjukkan pada ketika ini semakin ramai wanita yang bekerja bagi membantu keluarga. Ini juga menggambarkan peratusan sumbangan wanita kepada pembangunan ekonomi adalah besar nilainya. Hari ini hampir 70 peratus pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) adalah di kalangan perempuan, dan mereka bakal menyertai pasaran pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Selain itu, sejumlah 6.58 juta penduduk luar tenaga buruh adalah berpotensi memasuki pasaran buruh. Daripada jumlah tersebut, 70 peratus adalah terdiri daripada kaum wanita.

Kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia (KSM) berusaha meningkatkan penyertaan kaum wanita yang kini berada di luar tenaga buruh dalam pasaran pekerjaan terutama ibu tunggal, suri rumah (atau dikenali sebagai latent workforce) melalui program-program seperti homeworking, penyediaan Pusat Asuhan Kanak-kanak dan penggubalan Peraturan Kerja Separa Masa.

Program homeworking telah dilancarkan oleh YB Menteri Sumber Manusia pada 7 Oktober 2008 bertujuan untuk menarik lebih ramai golongan latent workforce menyertai pasaran pekerjaan dan menambah pendapatan. Pada 2009, KSM telah meneruskan program homeworking yang telah berjaya menarik penyertaan seramai 2,448 orang golongan OKU, suri rumah, ibu tunggal dan keluarga miskin.

Usaha juga perlu dipergiatkan untuk menarik golongan wanita meningkatkan jati diri dan kebolehpekerjaan (employability) melalui latihan kemahiran. Kesedaran bahawa dunia pekerjaan pada masa kini memerlukan bukan sahaja pengetahuan, tetapi juga kemahiran dalam pelbagai bidang perlu diterapkan. Kegagalan untuk merebut peluang-peluang yang ada mengakibatkan mereka terus ketinggalan dalam arus peredaran global.

Program-Program Pembangunan Modal Insan di Kementerian Sumber Manusia
Pada tahun ini, KSM menggiatkan segala usaha dan tenaga ke arah meningkatkan lagi peluang-peluang pekerjaan untuk dinikmati rakyat Malaysia. Usaha ini diharap dapat menyokong dan menjayakan Model Ekonomi Baru yang diperkenalkan Kerajaan bagi memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih pesat selaras dengan matlamat Wawasan 2020. Dalam mendokong aspirasi gagasan “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, pada hari ini, YAB Perdana Menteri melancarkan Pusat JobsMalaysia (JobsMalaysia Centre) di Cyberjaya. Serentak dengan itu, beberapa pusat perkhidmatan pekerjaan lain di seluruh Negara seperti di Danga Bay, Johor, Pelabuhan Klang, Sungai Petani dan Kota Kinabalu akan turut dilancarkan. Rakyat Malaysia kini boleh meneroka peluang-peluang pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan, kemahiran, pengetahuan dan kebolehan yang dimiliki melalui portal JobsMalaysia.

Selain itu, KSM terus mengutamakan usaha menyediakan program latihan kemahiran bagi melahirkan pool of experts dalam pasaran pekerjaan di Malaysia. Dalam hal ini, KSM menumpukan kepada usaha penerokaan kemahiran-kemahiran baru (new focus area) melalui pembangunan National Occupational Skills Standard (NOSS) dan kerjasama dengan pihak industri.

Kata orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, KSM menyokong usaha murni yang telah dilaksanakan oleh PERMATA atas inisiatif Y.A.Bhg Datin Sri Rosmah Mansor, untuk membangunkan modal insan bermula dari peringkat awal. Adalah diharapkan usaha tersebut akan dapat melahirkan modal insan negara yang berfikiran jauh lebih kreatif dan inovatif selaras dengan matlamat untuk melahirkan knowledge-workers. Saya amat berbesar hati sekiranya BAKTI dapat mengukuhkan kerjasama dengan KSM dalam usaha pembangunan modal insan di negara ini menerusi program-program bersama, di samping turut mempromosi penggunaan JobsMalaysia.

Wanita dan Alam Sekitar
Sesungguhnya, penglibatan wanita dalam pasaran pekerjaan dan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi Negara amat dihargai. Ini kerana peranan mereka tidak terhenti di dunia pekerjaan. Tuntutan tanggungjawab dan komitmen terhadap keluarga perlu diurus dan diimbang dengan bijaksana agar keharmonian institusi keluarga kekal utuh. Itulah cabaran yang harus dihadapi dengan cekal dan sabar. Begitu juga, bagi wanita yang tidak bekerja, dan memilih untuk berkhidmat untuk keluarga sepenuh masa, sumbangan mereka juga tidak kurang pentingnya.

Sebagai contoh, pendidikan untuk mencintai alam sekitar seharusnya bermula di rumah. Ibu merupakan pendidik pertama dan utama dalam menerapkan pengertian tentang pemeliharaan persekitaran kepada anak-anak dan generasi seterusnya. Nilai-nilai kemuliaan budi pekerti meliputi seluruh interaksi kita, sama ada sesama manusia, dengan haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam sekitar harus diterapkan kepada anak-anak.

Wanita dikatakan seorang yang begitu teliti dan begitulah juga terhadap alam sekitar. Oleh itu, usaha mulia dalam penjagaan alam sekitar oleh suri rumah pada hari semalam, akan meningkatkan usaha wanita pada hari ini, dan di atas kesungguhan itu akan menjadi usaha kepada lelaki pada esok hari. Menurut Ms. Elizabeth Dowdeswell, Executive Director of United Nation Environment Programme (UNEP), “Because of their special responsibilities as custodians of our natural resources, women have developed unique skill and insights on environmental issues. In most parts of the world, they are the first to notice environmental degradation and the first to suffer from it. But women are also agents of change and the key to achieving sustainable development”.

Dalam konteks ini, ibu berperanan sebagai “Role Model”, mendidik dan memupuk kesedaran berkaitan kesan pencemaran alam sekitar kepada anak-anak, melalui amalan dan pendidikan alam sekitar di rumah seperti penjimatan penggunaan tenaga elektrik, kitar semula dan meminimumkan bahan buangan serta penggunaan bahan semula jadi. Biarpun nampak mudah, tetapi sebenarnya ia memberi kesan yang besar terhadap kesedaran anak-anak terhadap penjagaan alam sekitar.
Wanita Sebagai Serikandi Transformasi

Wanita kini dilihat sebagai pemimpin perubahan, baik dalam keluarga, masyarakat dan seterusnya negara. Wanita adalah suri, serikandi, pejuang, pendidik, ¬family engineer, penasihat dan sebagainya.

Untuk mencapai transformasi nasional, wajarlah kita menterjemah nilai transformasi dalam diri dan keluarga dahulu melalui peningkatan ilmu, kesedaran tentang tanggungjawab terhadap alam sekitar, serta tanggungjawab dalam pembangunan dan perubahan masyarakat.

Perjuangan wanita tulus dan ikhlas, berjuang untuk memartabatkan keluarga, masyarakat dan demi masa depan Negara, demi mengangkat martabat generasi akan datang. Tahniah dan syabas kepada BAKTI atas usaha murni yang telah dilaksanakan.

No comments:

Post a Comment