Tuesday, April 19, 2011

RM8.9 Juta Diperuntuk Bantu Peserta Azam Kerja

07 April, 2011 17:05 PM

PETALING JAYA, 7 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia memperuntukkan RM8.7 juta bagi membantu 3,900 peserta program Azam Kerja yang terpilih tahun ini, kata Timbalan Menterinya Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata program Azam Kerja, iaitu cabang program 1Azam yang diperkenal oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berjaya melatih 623 daripada 893 peserta pada tahun lepas.

"Dengan melihat kejayan tersebut, pada tahun ini, kita memilih lebih ramai lagi peserta menerusi Jabatan Tenaga Kerja untuk mengikuti kursus kemahiran yang bersesuaian dengan minat mereka selama 12 bulan ke agensi-agensi atau syarikat swasta yang terlibat dalam program ini.

"Selepas enam bulan mereka tamat kursus, jika kita dapati mereka sudah boleh berdikari dan berpotensi untuk mengembangkan perniagaan, kita akan bantu mereka dalam mendapatkan modal awal daripada Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) bagi tujuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis Konvensyen Koperasi Dagang Seni Malaysia Berhad (KDSM) kali kedua hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah penaung KDSM, Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Alhaj dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Tengku Hairul Nizar Tengku Paris.

Maznah berkata inisatif kerajaan itu, yang bertujuan meningkatkan pendapatan suri rumah atau ibu tunggal dengan bekerja dari rumah, antara lain dapat membuka minda masyarakat agar berusaha dan berdikari bagi mengubah nasib mereka.

"Dengan kedatangan tenaga pengajar dari luar, contohnya dari Jepun, mereka dapat mencontohi dan mempelajari budaya kerja dan ilmu yang dimiliki oleh tenaga pengajar mereka sebagai panduan untuk mereka terus berdikari," katanya.

Pada majlis itu, Tengku Azizah berkenan menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Tokoh Wanita Cemerlang Malaysia, Anugerah Jualan Peralatan Jahitan Tertinggi dan Anugerah Pelajar Cemerlang (sekolah rendah dan sekolah menengah) KDSM bagi tahun 2010.

KDSM merupakan koperasi yang ditubuhkan oleh Persatuan Seni Jahitan Kreatif pada 2007 bagi membantu golongan ibu tunggal, orang kurang upaya dan suri rumah meningkatkan pendapatan menerusi program Perniagaan Dari Rumah.

Koperasi itu, yang dianggotai 1,068 orang daripada pelbagai kaum, menghasilkan kira-kira 50 produk berasaskan jahitan, termasuk bingkai sulaman, cenderamata korporat, kelengkapan solat dan produk mesra alam.

-- BERNAMA

300,000 belia masih aktif cari kerja

March 26, 2011 by mail

JULAU, 26 Mac (Bernama) — Kira-kira 300,000 belia di seluruh negara masih aktif mencari pekerjaan termasuk mereka yang ingin bertukar kerja bagi mendapatkan gaji lebih tinggi.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan berkata, bagi yang masih menganggur, mereka wajar mendaftar di portal jobsmalaysia yang pada masa ini menawarkan 500,000 kekosongan jawatan membabitkan kira-kira 30,000 majikan.

“Kebanyakan kekosongan jawatan adalah dalam sektor perkhidmatan dan pengeluaran. Namun pendaftaran di portal ini adalah percuma dan mereka juga boleh mencari pekerjaan yang mereka minat serta memohon secara talian,” katanya kepada Bernama di sini.

Maznah yang ditemui selepas melancarkan Karnival Belia Sarawak 2011 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Meluan, berkata seramai 3,413 belia di negeri ini mendaftar dengan portal itu, dan sehingga Februari lepas 628 orang telah memperolehi pekerjaan.

Maznah juga menegaskan segelintir daripada mereka gagal mendapatkan pekerjaan kerana terlalu memilih.

“Ada yang menolak kerja kerana menganggap kerja itu tidak sepadan dengan kelulusan akademik. Yang lain pula tidak mahu berpindah dan mencari kerja berhampiran kampung halaman,” katanya. — Bernama