Tuesday, April 19, 2011

RM8.9 Juta Diperuntuk Bantu Peserta Azam Kerja

07 April, 2011 17:05 PM

PETALING JAYA, 7 April (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia memperuntukkan RM8.7 juta bagi membantu 3,900 peserta program Azam Kerja yang terpilih tahun ini, kata Timbalan Menterinya Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata program Azam Kerja, iaitu cabang program 1Azam yang diperkenal oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berjaya melatih 623 daripada 893 peserta pada tahun lepas.

"Dengan melihat kejayan tersebut, pada tahun ini, kita memilih lebih ramai lagi peserta menerusi Jabatan Tenaga Kerja untuk mengikuti kursus kemahiran yang bersesuaian dengan minat mereka selama 12 bulan ke agensi-agensi atau syarikat swasta yang terlibat dalam program ini.

"Selepas enam bulan mereka tamat kursus, jika kita dapati mereka sudah boleh berdikari dan berpotensi untuk mengembangkan perniagaan, kita akan bantu mereka dalam mendapatkan modal awal daripada Tekun (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) bagi tujuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis Konvensyen Koperasi Dagang Seni Malaysia Berhad (KDSM) kali kedua hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah penaung KDSM, Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Alhaj dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Tengku Hairul Nizar Tengku Paris.

Maznah berkata inisatif kerajaan itu, yang bertujuan meningkatkan pendapatan suri rumah atau ibu tunggal dengan bekerja dari rumah, antara lain dapat membuka minda masyarakat agar berusaha dan berdikari bagi mengubah nasib mereka.

"Dengan kedatangan tenaga pengajar dari luar, contohnya dari Jepun, mereka dapat mencontohi dan mempelajari budaya kerja dan ilmu yang dimiliki oleh tenaga pengajar mereka sebagai panduan untuk mereka terus berdikari," katanya.

Pada majlis itu, Tengku Azizah berkenan menyampaikan hadiah kepada penerima Anugerah Tokoh Wanita Cemerlang Malaysia, Anugerah Jualan Peralatan Jahitan Tertinggi dan Anugerah Pelajar Cemerlang (sekolah rendah dan sekolah menengah) KDSM bagi tahun 2010.

KDSM merupakan koperasi yang ditubuhkan oleh Persatuan Seni Jahitan Kreatif pada 2007 bagi membantu golongan ibu tunggal, orang kurang upaya dan suri rumah meningkatkan pendapatan menerusi program Perniagaan Dari Rumah.

Koperasi itu, yang dianggotai 1,068 orang daripada pelbagai kaum, menghasilkan kira-kira 50 produk berasaskan jahitan, termasuk bingkai sulaman, cenderamata korporat, kelengkapan solat dan produk mesra alam.

-- BERNAMA

2 comments:

  1. Assalamualaikum dan Salam Hormat...
    YB Dato' Maznah Mazlan!!

    Untuk pengetahuan YB, saya, Badrulzaman Mohd Ghazali adalah Timbalan Yang DiPertua kepada KESATUAN PEKERJA-PEKERJA MHS AVIATION BERHAD (KERTEH).

    Di sini, saya mewakili para pegawai kanan Kesatuan ingin memohon untuk berjumpa dengan YB Dato' Maznah pada tarikh 15hb Jun 2011 (Rabu) di pejabat YB.

    Di dalam pertemuan tersebut, kami ingin mendapatkan beberapa khidmat nasihat berkenaan isu-isu semasa dan juga mungkin melibatkan kesatuan dan majikan di tempat kami bekerja.

    Oleh itu, dengan harapan yang menggunung, saya dan barisan kanan amat berharap YB dapat melapangkan masa untuk bertemu kami pada tarikh tersebut.

    Sekian. Terima kasih.


    Badrulzaman Mohd Ghazali.
    hp : 017-9383550.
    e-mail : b_mohdghazali@yahoo.com
    kppmhsab@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Datuk,
    Saya salah seorang peserta kursus sehari bersama Mardi yang di adakan di Stesen Mardi Bukit Ridan pada Khamis 20/10/11 yang lalu,di mana kursus ini di adakan atas usaha Datuk,berkesempatan di sini saya ingin mengucapkan ribuan terima kaseh atas ilmu yg di perolehi.
    Saya memohon agar dapat kira nya Datuk meminta pihak Mardi mengadakan pula kursus luar jadual berkaitan 'cara-cara menggunakan Bahan Pengawet(ch:Pottasium Sorbhate/Anti-Oxidant) ke dalam bahan makanan saperti Snek Bergoreng/serunding bagi mendapatkan tempoh ketahanan (expired) yg panjang'.
    Akhirkata perhatian dan feedback dari Datuk saya dahului dengan ribuan terimakaseh.

    Regards,
    Mukhre Abdul Samad.
    Mukhre Food Industry,
    DS 531,Jalan Penghulu Abu Bakar,Bandar Lama,
    26800 Kuala Rompin,Pahang DM.
    h/p : 0139548774
    tel/fax : 094141197
    email : amukhre@yahoo.com
    website : www.hotfrog.com.my/companies/mukhre- food-industry.
    www.mukhrefoodindustry.blogspot.com.

    ReplyDelete