Tuesday, May 4, 2010

Laporan Khas: PAKK boleh atasi masalah pembantu rumah

2010/04/20

Syarikat swasta diminta buka pusat jagaan kanak-kanak untuk kakitangan masing-masing

SUAMI atau isteri terpaksa mengambil cuti kecemasan kerana orang gaji lari dari rumah atau kedua-duanya silih berganti mengambil cuti beberapa hari, malah hingga seminggu dua semata-mata kerana menunggu kehadiran orang gaji baru.

Ramai daripada pasangan yang bekerja sekarang ini, sebenarnya memerlukan orang gaji semata-mata untuk menjaga bayi atau anak kecil di rumah ketika mereka keluar bekerja dari pagi hingga jam 5 atau 6 petang.

Sebenarnya, separuh daripada masalah berkaitan orang gaji itu selesai andainya majikan menyediakan pusat asuhan dan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja. Ketika masuk pejabat waktu pagi, pasangan boleh menghantar anak ke pusat itu dan mengambilnya semula selepas tamat bekerja pada sebelah petang.
Malah, waktu rehat tengah hari boleh menjenguk anak di situ dan bagi si ibu pula boleh menyusu anaknya.

Tiada cuti kecemasan atau cuti biasa yang terpaksa diambil, gara-gara ketiadaan orang gaji. Majikan pula boleh mengharapkan tumpuan penuh pekerjanya, sekali gus meningkatkan lagi produktiviti.

“Bayangkan, ketika ini ada kira-kira 250,000 pembantu rumah dari Indonesia bekerja di negara ini. Jika kita mempunyai pusat asuhan kanak-kanak, ia dapat menyelesaikan masalah penjagaan anak ketika wanita keluar bekerja,” kata Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan.

Buat masa ini, tidak banyak majikan swasta membuka Pusat Asuhan Kanak-Kanak (PAKK) dan statistiknya agak mengejutkan iaitu cuma 16 yang ditubuhkan syarikat swasta di seluruh negara.
Berikutan itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan, mahu kerjasama MEF supaya majikan menubuhkan PAKK bagi kepentingan kakitangannya.

“Kita dapati keprihatinan majikan terhadap kepentingan menyediakan PAKK masih rendah. Kita juga mahu pekerja wanita berasa selesa dan selamat meninggalkan anak mereka di PAKK pejabat mereka. Ini sekali gus mengelak pekerja wanita berhenti.

“Perangkaan menunjukkan, kira-kira 46 peratus wanita Malaysia berhenti kerja kerana ingin menumpukan perhatian menjaga anak mereka. Keadaan itu sudah pasti boleh merugikan negara kerana sumber tenaga wanita amat diperlukan untuk pertumbuhan dan pembangunan negara,” katanya.

Pusat penjagaan kanak-kanak itu tidak begitu bermasalah di sektor awam kerana banyak sudah ditubuhkan.

Apa yang penting, selain majikan sendiri, peranan perlu dimainkan oleh kesatuan sekerja, badan bukan kerajaan dan organisasi khas untuk memperjuangkan mengenai penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja.

Kita tidak pasti apa masalah sebenar pihak swasta agak keberatan menubuhkan pusat seumpamanya itu. Mungkinkah perlu bagi kerajaan mewajibkan mereka berbuat demikian?

Setakat ini, kerajaan cuma memberi insentif kepada majikan dan ibu bapa yang menghantar anak ke PAKK. Bagi majikan, mereka akan mendapat dua kali ganda pengecualian cukai sekiranya menyediakan ruang menempatkan PAKK, mulai 2007 manakala kadar potongan cukai sehingga RM2,400 kepada pembayar cukai (bagi majikan menyediakan elaun khas untuk PAKK).

Namun, setakat ini, kebanyakan PAKK yang ditubuhkan syarikat swasta cuma berlegar di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, selain di Pahang dan Perlis dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB) syarikat paling banyak menyediakan PAKK di cawangannya yang lain.

Malah, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor juga menggalakkan majikan syarikat swasta dan sektor awam turut sama menyahut cabaran itu. Kurikulum Permata Negara boleh menjadi penanda aras ke arah membantu perkembangan kanak-kanak di bawah usia enam tahun.

Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) berdaftar dengannya di seluruh negara ialah 422 sehingga Februari lalu. Daripada jumlah itu, jumlah Taska yang berdaftar di sektor awam ialah sebanyak 11.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Meme Zainal Rashid, berkata sambutan majikan di sektor awam dalam menyediakan Taska di tempat kerja didapati semakin baik dan jumlahnya meningkat. JKM akan meneruskan usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kepada majikan mengenai kemudahan insentif disediakan serta manfaatnya kepada produktiviti organisasi dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, majikan tetap ada kekangan yang menyebabkan mereka sukar menyediakan Taska antaranya berikutan ruang pejabat sedia ada sangat terhad dan tidak mencukupi untuk penempatan kanak-kanak. Selain itu, peraturan yang menetapkan Taska hanya dibenarkan di tingkat bawah atau tingkat satu saja bagi bangunan bertingkat.

“Setakat ini, JKM mendapati ada sebuah Taska tempat kerja yang diarah tutup. Hal ini kerana kementerian itu mendapati pengusaha gagal memenuhi standard minimum JKM dalam tempoh diberi seperti pengasuh bukan warga negara dan nisbah pengasuh berbanding bilangan kanak-kanak tidak mencukupi,” katanya.

Berita Harian.

No comments:

Post a Comment